|
PROJEK Satu Kanak-Kanak Satu
Laptop yang diilhamkan oleh Pengarah Makmal Media, Institut
Teknologi Massachusetts (MIT), Nicholas Negroponte dua tahun
lalu akan menghasilkan komputer laptop dengan harga kurang
daripada RM500 bagi tujuan pengajaran dan
pendidikan. Komputer laptop berkenaan yang dikenali
sebagai XO, dihasilkan menggunakan kuasa terhad untuk
memastikan ia dapat dijual pada harga sasaran, kurang daripada
RM500. Bagi mengurangkan kos, XO akan memanfaatkan sistem
operasi Linux, cip prosesor 366 megahertz keluaran Advanced
Micro Devices Inc, tiada pemacu cakera keras, memori "flash"
512 megabytes dan USB 2.0 port. Negroponte berkata,
motif utama projek ini ialah merangsang persekitaran
pembelajaran kepada kanak-kanak menggunakan komputer sebagai
alat bantuan pengajaran dan pembelajaran. "Amat
menyedihkan keadaan pembelajaran sekarang kerana komputer yang
digunakan di makmal sekolah lebih menekankan kepada penggunaan
Word, Excel dan Power Point sedangkan mereka sepatutnya lebih
banyak berkomunikasi, berkongsi minat dan menerokai perkara
baru dalam pelajaran," katanya. Bagi membezakan XO
dengan laptop yang ada di pasaran, ia tidak memiliki "folders"
seperti lazim sebaliknya ia menggunakan kaedah jurnal yang
mana ia secara automatik menjana log setiap kali kanak-kanak
menggunakannya. Pelajar boleh mendapatkan semula
catatan yang dibuat di dalam XO sama ada untuk mengubahsuai
atau mencipta fail baru. Penggunaan "folders" di dalam
komputer kali pertama diperkenalkan Apple Computer Inc pada
1984. Beliau berkata, XO dihasilkan dengan tujuan
membezakannya dengan komputer laptop sedia ada di pasaran
kerana hendak memberikan pengalaman berbeza kepada pengguna
terutama bagi kanak-kanak di sekolah. "Komputer XO
adalah komputer pertama yang didedahkan kepada kanak-kanak
pada peringkat sekolah dan pencipta XO perlu menghasilkan
interaktif pengguna yang dapat merangsang minat mereka.
Apabila pelajar memilih ikon "neighborhood maka akan keluar
ikon warna pada skrin. "Jika mereka berminat untuk
berkomunikasi dengan rakan sekolah yang ada berdekatan,
komputer laptop itu akan mengesannya menggunakan sistem
rangkaian komunikasi tanpa wayar. Apabila menekan gambar yang
tertera dalam skrin, mereka boleh bersembang atau berkongsi
pelbagai bahan seperti projek sastera dan program muzik,"
katanya.
Sumber : Berita
Harian
|